SELAMAT DATANG KE BLOG SEKOLAH MENENGAH KEBANGSAAN AGAMA NURUL ITTIFAQ

Latar Belakang

SEJARAH PENUBUHAN SEKOLAH

Idea penubuhan sekolah ini diilhamkan oleh Tuan Guru Hj Abbas bin Hj Mohamad.Beliau merupakan ulama terkenal di negeri Terengganu Darul Iman.Menurut bekas pelajarnya, Ustaz Salleh bin Hj Daud, sekolah ini bermula pada sekitar tahun 1930-an.Pada masa ini, jumlah pelajarnya tidak sampai 100 orang.Mereka datang dari seluruh negeri Terengganu dan beberapa orang luar seperti Sabak Bernam, Selangor. Sekolah ini dinamakan Madrasah Nurul Ittifaq ( Sekolah Cahaya Muafakat ) sebagai lambang permuafakatan orang ramai membina sekolah tersebut. Mata pelajaran yang diajar pada masa itu ialah mata pelajaran agama sahaja yang diajar dalam Bahasa Arab.

TENAGA PENGAJAR

Tanggungjawab untuk mentadbir sekolah diserahkan kepada Ustaz Mustafa Labib bin Hj Yazid yang berasal dari Ranau, Palembang, Sumatera. Beliau dibantu oleh Ustaz Daie juga dari Sumatera, dan Ustaz Abdul Rahman dari Cherang Ruku, Semerak, Kelantan untuk membimbing masyarakat Besut ke arah pendidikan agama yang sistematik.

LOKASI SEKOLAH

Tapak awal madrasah ini ditempatkan berhampiran dengan Bank Pertanian iaitu persimpangan empat ke Pekan Kuala Besut, kemudian ke Jalan Mek Su Mek. Disebabkan kurang sesuai, sekali lagi madrasah ini dipindahkan berdekatan Surau Tok Sheikh, Kuala Besut. Pada tahun 1958, bangunan sekolah didirikan di kawasan pantai iaitu di tapak perhentian bas, Kuala Besut secara gotong-royong masyarakat kampung. Apabila Ustaz Mustafa Labib bin HJ Yazid kembali ke Ranau, Palembang, madrasah menghadapi masalah kekurangan tenaga pengajar. Implikasinya pengajian madrasah tersebut tergendala hampir empat tahun.

PEMULIHAN MADRASAH NURUL ITTIFAQ

Atas kesedaran masyarakat tempatan, madrasah tersebut dibuka kembali. Tokoh yang bertanggungjawab termasuk pemimpin tempatan Kuala Besut iaitu Wan Ali Wan Yusof, Haji Wan Hashim, Che Lah Ad dan Che Ku Jusoh. Seorang guru agama dilantik untuk menguruskannya. Menurut bekas pelajarnya, Ustaz Salleh bin Hj Husin telah dilantik menjadi pengetua. Beliau dibantu oleh Wan Ahmad, Ustazah Khadijah dan Che Ku Abdul Rahman bin Abdullah.
     Pada tahun 1981, sekolah ini telah diletakkan di bawah Tadbiran Jabatan Hal Ehwal Agama Negeri Terengganu. Semenjak tarikh itu, sistem pendidikan ketika itu diubah mengikut sistem sekolah agama dan sekolah Arab yang ditadbir oleh Kerajaan Negeri Terengganu.

TAFSIRAN WARNA LENCANA


HIJAU: warna lembut yang melambangkan imej sebuah sekolah agama yang sentiasa memberikan layanan mesra kepada semua pelanggannya. Warna ini juga merupakan tradisi dan keagungan islam seiring dengan dasar dan perjuangan menegakkan syiar islam yang tulen.

MERAH: Warna garang yang melambangkan keberanian dan kesungguhan dalam melaksanakan sesuatu kerja dan tanggungjawab yang diamanahkan. Ia menjadi sumber inspirasi kepada pelajar-pelajar untuk terus berusaha tanpa mengenal jemu bagi mencapai kejayaan dan kecemerlangan.

KUNING EMAS: Warna yang melambangkan usaha progresif dan produktif sesuai dengan aspirasi sekolah dalam menentukan kejayaan dan kecemerlangan pendidikan yang berlandaskan Islam. Warna ini juga digunakan sebagai pengukur kejayaan kualiti pendidikan bagi menentukan seseorang pelajar itu sentiasa dihadapan.

PUTIH: Warna putih bersih yang menjadi latar, melambangkan kesucian dan kebersihan yang dituntut dalam Islam. Ia juga memberi penekanan kepada suasana, iklam dan budaya sihat yang diterapkan dan sentiasa menjadi amalan sekolah.

LAMBANG NEGERI TERENGGANU: Lambang ini terletak dibahagian atas lencana yang menandakan bahawa sekolah ini berada di Negeri Terengganu dan sentiasa menyanjung tinggi kedaulatan Negeri Terengganu disamping mencurahkan taat setia yang tidak berbelah bahagi.

SKROLL: Melambangkan kecemerlangan ilmu pengetahuan yang dicapai oleh pelajar-pelajar dan seterusnya berupaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan